Tuesday, 21 June 2011

CIRI-CIRI UJIAN


2.1       Kesahan Ujian

Soalan ujian mestilah relevan dan menguji apa yang hendak diuji. Soalan juga mestilah seimbang dari segi bilangan berdasarkan tajuk dan sub-tajuk kandungan yang diajar. Justeru, soalan yang dibina mestilah menepati objektif dan kandungan sesuatu kursus.

Kesahan merujuk kepada sejauh mana ujian mengukur apa yang hendak diukur. Sebagai contoh, jika pensyarah memberi satu ujian kepada pelajar bagi menentukan tahap kefahaman membaca berasaskan petikan rencana, ujian tersebut mestilah dengan sebenarnya mengukur kefahaman membaca.  Isu kesahan boleh dilihat daripada tiga aspek iaitu kesahan kandungan, kesahan gagasan dan kesahan berkaitan kriteria.

Kesahan Kandungan

Kesahan kandungan merujuk sejauh mana sesuatu ujian merangkumi domain kandungan yang hendak dinilai. Kandungan sesuatu ujian perlu merupakan sampel ‘representative’ kandungan bidang yang ingin diukur. Untuk menentukan ujian yang digunakan meliputi kandungan bidang yang diuji, pensyarah perlu menakrifkan kurikulum dan isi pelajaran kursus yang diajar.

Kandungan kursus biasanya luas. Oleh itu, pensyarah boleh menggunakan teknik persampelan kandungan bagi mewakili kandungan kursus. Pensyarah boleh merangka Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) bagi menggambarkan kadar tingkah laku yang perlu diuji bagi mewakili kandungan kursus. Pendapat pakar, misalnya profesor dalam bidang berkaitan boleh digunakan bagi memastikan ujian yang dibina mempunyai kesahan kandungan yang tinggi.




Kesahan Gagasan

Gagasan merupakan sekumpulan konsep yang ada pada fikiran tetapi kita tidak dapat dilihat objeknya secara langsung seperti pencapaian, kecerdasan dan kreativiti. Setiap gagasan pendidikan mengandungi konsep-konsep yang rumit yang terdiri daripada banyak faktor yang saling berkait dan sukar dicerakinkan. Setiap gagasan mungkin diperlihatkan dalam suatu situasi tetapi tidak pada situasi lain. Sebab itu, tidak ada satu ujian yang boleh mengukur sesuatu gagasan dengan tepat. 

Oleh kerana gagasan tidak dapat dilihat, pengukuran ke atasnya juga tidak dapat dilakukan secara langsung. Bagaimanapun terdapat ciri-ciri atau kesan yang dapat dicerap daripada sesuatu gagasan. Misalnya, gagasan penguasaan pelajar dalam kursus Bahasa Inggeris. Pensyarah boleh mencerap kesan gagasan penguasaan pelajar tersebut yang ditunjukkan oleh ciri-ciri seperti bilangan perbendaharaan kata Bahasa Inggeris yang dikuasai, kebolehan pelajar membina ayat mudah dalam Bahasa Inggeris dan kebolehan pelajar membincangkan sesuatu isu dalam Bahasa Inggeris Oleh itu, gagasan boleh diukur dan diuji secara tidak langsung berasaskan kesan-kesan atau ciri-ciri yang terhasil dari kewujudannya.  Dengan itu, kesahan gagasan bagi ujian penguasaan Bahasa Inggeris boleh ditentukan dengan menghitung pertalian antara skor ujian itu dengan pencapaian dalam ujian perbendaharaan kata Bahasa Inggeris dan pembinaan ayat dalam Bahasa Inggeris.

Kesahan Berkaitan Dengan Kriteria

Kesahan berkaitan dengan kriteria merujuk kepada sejauh mana kaitan antara pencapaian dalam sesuatu ujian dengan kriteria luaran yang berkecuali. Kesahan berkaitan dengan kriteria mempersoalkan sama ada ujian sah mengukur kriteria yang hendak diukur. Sekiranya kriteria luaran yang berkecuali sebenarnya sah bagi mengukur kriteria yang hendak diukur, maka kaitan yang bererti antara ujian dengan kriteria luaran tersebut  menunjukkan kesahan berkaitan dengan kriteria.

Terdapat dua jenis kriteria yang boleh digunakan. Kriteria serentak ialah kriteria yang ditunjukkan pada masa yang sama atau hampir sama dengan pengukuran yang dikenakan ke atas kriteria tersebut. Kriteria jangkaan ialah kriteria yang ditunjukkan pada satu selang masa selepas pengukuran dikenakan ke atas ujian tersebut. Sebagai contoh, ujian Matematik di universiti dikatakan mempunyai kesahan serentak yang tinggi sekiranya pencapaian pelajar dalam ujian tersebut konsisten dengan pencapaian cemerlang dalam satu lagi ujian Matematik lain yang menguji kemahiran Matematik yang sama, yang ditadbirkan serentak. Ujian tersebut juga dikatakan mempunyai kriteria jangkaan yang tinggi sekiranya pencapaian pelajar dalam ujian konsisten dengan prestasi dalam Matematik sepanjang karier selepas pelajar bergraduat nanti.

Aktiviti 5
Senaraikan objektif pengajaran dan pembelajaran bagi satu topik kursus yang  anda minati.  Jelaskan apakah konsep dan gagasan yang ingin diukur bagi setiap objektif pengajaran yang anda nyatakan. Bagaimanakah anda boleh memastikan bahawa soalan ujian anda mempunyai kesahan kandungan, gagasan dan kriteria yang tinggi?

2.2       Kebolehpercayaan Ujian

Kebolehpercayaan merujuk kepada ketekalan ujian dalam mengukur apa yang hendak diukur. Ujian yang mengukur sesuatu gagasan dengan skor yang tekal dikatakan mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi. Sebaliknya, ujian yang menghasilkan skor yang berubah-ubah mempunyai kebolehpercayaan yang rendah. Sesuatu ujian yang mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi tidak semestinya sah. Bagaimanapun, sesuatu ujian yang sah biasanya boleh dipercayai. Jika faktor-faktor lain serupa, sesuatu ujian yang mempunyai pekali kebolehpercayaan yang tinggi perlu dipilih kerana ujian tersebut mempunyai ketekalan pemeringkatan individu dalam kumpulannya.

Kebolehpercayaan ujian dipengaruhi oleh faktor yang tidak sistematik. Faktor tidak sistematik adalah faktor yang menghasilkan perubahan atau variasi yang tidak dijangka yang dikenali sebagai perubahan rawak. Ujian yang mengukur dengan pincang sesuatu konsep boleh menghasilkan perubahan rawak. Ujian yang mengandungi arahan, soalan, butiran dan pernyataan yang tidak jelas dan mengelirukan juga boleh menghasilkan perubahan tidak sistematik.

Terdapat tiga sumber faktor tidak sistematik. Pertama, variasi individu. Individu berubah disebabkan minat, kecergasan fizikal dan kestabilan emosi yang berbeza pada dua situasi ujian. Kedua, variasi perubahan tugasan. Menulis jawapan ke dalam kertas jawapan pada ujian pertama dan menghitamkan kertas OMR pada ujian kedua akan menghasilkan perubahan rawak disebabkan kedua-dua tugasan menjawab memerlukan kemahiran yang berbeza. Ketiga, variasi persampelan gagasan yang terhad. Soalan ujian biasanya dibina berasaskan kepada sampel kandungan yang diajar. Sampel tingkah laku yang terhad lebih terdedah kepada faktor peluang.

Indeks Kebolehpercayaan

Indeks kebolehpercayaan digunakan bagi menunjukkan ketekalan sesuatu ujian. Indeks ini ditentukan dengan menggunakan kaedah korelasi antara dua set skor ujian. Dua set skor boleh diperoleh dengan menggunakan kaedah uji dan uji kembali, kaedah bentuk setara atau kaedah bahagi dua. Uji dan uji kembali dibuat apabila pensyarah memperoleh dua set skor dari ujian yang sama yang ditadbirkan kepada pelajar yang sama pada dua masa berlainan. Kaedah bentuk setara dibuat apabila pensyarah memperoleh dua set skor dari dua set ujian yang setara yang ditadbirkan pada pelajar pada masa yang sama. Kaedah bahagi dua dibuat apabila pensyarah memperoleh dua set skor dari jawapan pelajar terhadap soalan bernombor ganjil dan soalan bernombor genap dari satu set ujian yang ditadbirkan pada pelajar. Sekurang-kurangnya indeks kebolehpercayaan 0.75 diperlukan bagi memastikan ujian yang dibina boleh dipercayai.

Mempertingkatkan Kebolehpercayaan

Berikut adalah cara bagaimana pensyarah boleh meningkatkan   kebolehpercayaan sesuatu ujian yang dibina.
    1. Arahan hendaklah jelas dan tepat.
    2. Pernyataan soalan mestilah jelas dan tepat.
    3. Soalan hendaklah seragam (homogen).
    4. Situasi dan masa ujian dijalankan hendaklah piawai, serupa dan  terkawal.
    5. Elak ganguan kepada pelajar disebabkan arahan dan soalan tidak jelas.
    6. Elak kebimbangan pelajar semasa mereka menjawab soalan.

Aktiviti 6
Anda membina 60 soalan objektif berdasarkan objektif pengajaran dan kandungan yang anda ajar dan mengasingkan gerak balas pelajar terhadap soalan bernombor ganjil dengan soalan bernombor genap. Apakah kesan pembahagian bilangan gerak balas pelajar terhadap aspek kebolehpercayaan ujian?

2.3       Keobjektifan Ujian

Keobjektifan ujian berkait dengan sejauh mana perskoran sesuatu jawapan ujian bebas daripada pertimbangan pemeriksa. Jawapan yang sama mestilah mendapat skor yang sama walaupun diperiksa oleh dua orang pemeriksa. Sekiranya dua atau lebih pemeriksa memberi skor yang sama kepada jawapan yang sama, maka ujian mempunyai keobjektifan yang tinggi. Sebab itu, soalan aneka pilihan dikenali sebagai soalan objektif kerana mempunyai keobjektifan penskoran yang tinggi.

Bagi memastikan ujian mempunyai keobjektifan yang tinggi, skema penskoran perlu disediakan. Skema penskoran perlu dibuat lebih awal sebelum ujian ditadbirkan kepada pelajar. Seboleh mungkin skema penskoran disemak oleh beberapa pensyarah yang pakar dalam bidang yang diuji. Selain mengelak dari dipengaruhi oleh jawapan pelajar, penyediaan skema jawapan sebelum pentadbiran ujian boleh mengesan kelemahan-kelemahan yang mungkin berlaku pada soalan supaya langkah pembetulan dapat dilakukan. Penyelarasan semakan perskoran antara pemeriksa juga perlu dibuat bagi memastikan proses penskoran mempunyai keobjektifan yang tinggi.

Aktiviti 7
Bina satu set 5 soalan subjektif bagi menguji satu topik kursus yang anda minati. Sediakan skema jawapan dan penskoran bagi setiap soalan yang anda bina.

2.4       Kebolehtadbiran

Sesuatu ujian mestilah boleh ditadbirkan dengan sempurna. Pentadbiran ujian yang sempurna sangat penting supaya semua pelajar mempunyai suasana yang sesuai untuk memberi jawapan yang terbaik. Dengan adanya suasana yang sesuai, kita lebih yakin bahawa jawapan diberi adalah berasaskan penguasaan pelajar dalam bidang yang diuji dan bukannya sumbangan faktor-faktor gangguan.

Berikut adalah panduan bagi memastikan pentadbiran ujian dijalankan dengan sempurna.
-         Arahan terutama cara menjawab soalan ujian mestilah diberi dengan tepat, jelas dan ringkas.
-         Soalan mestilah disusun dari mudah kepada sukar.
-         Pensyarah perlu memadankan bilangan dan kesukaran soalan dengan masa yang diperuntukan untuk menjawab.
-         Dicadangkan agar soalan jawapan dipilih yang mengandungi 5 pilihan diperuntukan 45 saat untuk pelajar menjawab.
-         Dewan di mana ujian dijalankan haruslah selamat, ceria dan sempurna dengan kerusi meja yang berkeadaan baik dan sesuai, jarak yang sesuai, pencahayaan yang terang, suhu yang sederhana, sistem siar raya yang sempurna dan tidak berdekatan dengan punca kebisingan seperti dekat jalan raya atau alat pendingin udara.
-         Ujian boleh ditadbirkan oleh sesiapa sahaja.
-         Sekiranya tersangat perlu, pemberitahuan tersebut mestilah ringkas, jelas dan difahami oleh semua pelajar.
-         Masa perlu ditambah bagi mengganti masa ganguan yang berlaku.


Aktiviti 8
Berdasarkan pengalaman anda mengambil ujian, jelaskan apakah perkara-perkara berkaitan dengan pentadbiran ujian yang anda tidak sukai? Bagi setiap perkara yang anda senaraikan, bagaimanakah pentadbir ujian boleh memperbaikinya?

2.5    Kemudahtafsiran

Penilaian pengajaran dan pembelajaran di bilik kuliah dan makmal memerlukan skor ujian sebagai asas untuk membuat keputusan. Sesuatu ujian mestilah boleh diskor dengan cekap. Skor yang diperoleh hendaklah mudah ditafsir.

Penskoran Ujian

Pemberatan markah dan kaedah yang digunakan bagi penskoran jawapan sesuatu soalan perlu diberitahu kepada pelajar terlebih dahulu. Maklumat penskoran boleh disertakan pada arahan menjawab setiap soalan. Maklumat ini sangat perlu supaya pelajar dapat menjawab dengan tepat sebagaimana yang diharapkan oleh pembina dan pemeriksa ujian.

Kriteria penskoran jawapan dipilih biasanya telah ditentukan dan diketahui oleh pelajar semasa mereka menduduki ujian. Misalnya, sekiranya terdapat 50 soalan aneka pilihan dan jumlah markah yang diperuntukkan ialah 100, maka setiap soalan yang dijawab dengan betul akan mendapat 2 markah.

Penskoran jawapan dibina terutamanya yang memerlukan jawapan panjang tidak terhad lebih mencabar. Seringkali, pemeriksa sukar untuk mengelakkan diri daripada melakukan penskoran subjektif terhadap jawapan dibina. Sebab itu soalan esei biasanya dikenali sebagai ujian subjektif. Pemeriksa boleh mengurangkan kepincangan penskoran dengan memeriksa satu soalan bagi semua pelajar, sebelum berpindah kepada soalan berikutnya. Pemeriksa perlu mengelakkan diri dari mengenali identiti pelajar seperti nama dan nombor matrik pelajar. Pemeriksa sebagai ahli profesional perlu sentiasa ingat bahawa penskoran perlu dilakukan dengan bijaksana dan amanah. Kepincangan penskoran disebabkan kelemahan pemeriksa akan mendatangkan kesan yang serius kepada masa depan pelajar, masyarakat dan negara.

Penilaian jawapan dibina haruslah berasaskan kepada kriteria berikut:

a.    Kandungan. Adakah pelajar mengemukakan semua isi atau kandungan bagi sesuatu soalan pokok?
b.    Susunan atau organisasi. Adakah susunan atau organisasi jawapan teratur, kemas dan logik?
c.    Proses. Adakah proses penggunaan, analisis, sintesis dan penilaian dilakukan dengan teratur dan sistematik?
d.    Ketepatan dan kemunasabahan. Adakah isi jawapan tepat dan munasabah?
e.    Keaslian dan kreativiti. Adakah jawapan yang diberi asli berasaskan kepada kreativiti pelajar sendiri?
f.     Kesempurnaan dan ketekalan dalaman. Adakah isi jawapan yang dibentangkan sempurna dan mempunyai ketekalan dalaman yang tinggi?

Pentafsiran Skor Ujian

Skor ujian tidak mendatangkan apa-apa makna kecuali pensyarah berupaya membuat tafsiran yang tepat dan sesuai. Skor 60 yang diperoleh oleh seseorang pelajar dalam ujian matematik tidak memberi makna kecuali kita boleh mentafsirkannya sebagai penguasaan yang lemah, sederhana atau cemerlang. Tafsiran terhadap skor ujian adalah sangat penting bagi menentukan sejauh mana objektif pengajaran dan pembelajaran di universiti dicapai. Tafsiran perlu dilakukan dengan objektif bagi mengelakkan pertimbangan peribadi penilai.

Justeru itu, skor ujian perlu dianalisis bagi menentukan ciri yang tepat yang ada pada set skor. Di antara ciri yang biasanya diperlukan bagi membuat tafsiran yang tepat ialah ciri kecenderungan memusat dan serakan skor-skor ujian. Skor-skor ujian perlu juga dipiawaikan bagi membolehkan perbandingan dibuat antara pencapaian seseorang pelajar dengan pelajar lain.

Aktiviti 9
Bina satu soalan esei bagi menguji sejauh mana pelajar menguasai isi pelajaran yang anda ajar. Sediakan satu set skema jawapan bagi soalan berkenaan beserta dengan pemberatan markahnya.

1 comment: